Pada tahun 1999, media massa di
seluruh dunia telah membicarakan sesuatu fenomena baru: gerakan
‘anti-kapitalisme’ antarabangsa. Istilah ini muncul buat kali pertamanya dalam
akhbar-akhbar British pada bulan Jun tahun itu, apabila lembaga-lembaga
kewangan di London digempuh demonstrasi tunjuk rasa. Demonstrasi secara
besar-besaran yang kemudiannya menemui persidangan Organisasi Perdagangan
Sedunia (World Trade Organisation; WTO) di Seattle pada 30hb November
juga diberikan nama ‘anti-kapitalis.’ Sepuluh tahun setelah kaum penguasa
kapitalis mengisytiharkan kemenangan mutlak pasaran bebas dengan musnahnya
Tembok Berlin dan pepecahan USSR, media semasa harus mengakui bahawa semakin
ramai orang menolak sistem kapitalis.
Gerakan anti-kapitalis ini paling
jelas dilihat dalam demonstrasi yang berlaku secara berturut-turut di Seattle,
Paris, London, Washington dan bandar-bandar lain di seluruh dunia. Lebih-lebih
lagi, perasaan anti-kapitalis juga terbentang dalam bentuk lain pula: misalnya,
ketika sejuta warga Perancis mengundi untuk calon-calon Trotsky dalam pilihan
raya Parlimen Eropah dan juga di antara beribu-ribu penyokong gerakan ATTAC; di
kalangan penyokong Ken Livingstone dalam pilihanraya datuk bandar London,
terutamanya di antara 15 peratus daripada pengundi yang mengundi untuk calon
sayap kiri. Di Eropah Timur, hasil kajian juga membuktikan bahawa 58 peratus
daripada penyokong kapitalis di Poland, 63 peratus di bekas Jerman Timur dan 51
peratus di Itali mempunyai ‘perhubingan negatif.’ Satu lagi contoh perasaan
anti-kapitalis boleh dilihat dalam rangkaian pemberontakan di Amerika Latin
yang menentang agenda neo-liberal dan permogokan pelajar di Mexico. Namun
demikian, demonstrasi-demonstrasi ini hanya merupakan sebahagian kecil daripada
rasa tidak puas hati golongan rakyat yang tertindas di seluruh dunia.
Media massa telah memberi
penumpuan terhadap bahagian kecil ini, dalam usaha untuk memperkecil-kecilkan
usaha aktivis. Tetapi dengan berbuat demikian, mereka telah memberi fokus
kepada ramai orang yang ingin menyuarakan rasa tidak puas hati mereka (demikian
juga yang berlaku dengan gerakan anti-perang Vietnam dan gerakan pelajar pada
tahun 1960-an).
Demonstrasi anti-WTO di Seattle
tentu saja menjadi titik permulaan bagi mana-mana perbincangan mengenai gerakan
anti-kapitalisme. Tidak perlu saya membincangkan demonstrasi itu di sini; ini
sudah dilakukan dalam majalah ini dan tempat-tempat yang lain[i].
Pendek kata, demonstrasi di Seattle adalah hasil kerjasama di antara
kumpulan-kumpulan yang berlainan, yang sebelum itu tidak pernah bersatu. Setiap
kumpulan itu akhirnya memahami bahawa pertemuan seperti mesyuarat WTO itu
merupakan ancaman terhadap prinsip-prinsip yang mereka berpegangan. Luis
Hernandez Navarro, seorang wartawan dari akhbar harian radikal La Jornada
di Mexico menggambarkan mereka yang hadir di demonstrasi tersebut sebagai,
“Ahli ekologi dan kaum pencinta alam, petani dari Dunia Pertama, ahli kesatuan
pekerja, badan bukan kerajaan yang memyokong pembangunan, penyokong gerakan
wanita, pengikut muzik punk, pembela hak asasi manusia, wakil masyarakat asli,
mereka yang muda dan mereka yang tidak sebarapa muda, warga Amerika Syarikat,
Kanada, Eropah, Amerika Latin dan Asia.”[ii]
Katanya lagi, semua kumpulan yang berlainan ini bersatu dalam penolakan slogan
“Semua kekuatan untuk perusahaan transnasional!” yang menjadi agenda WTO.
Aksi demonstrasi dan bantahan itu
menonjolkan diri secara spontan. Ramai di kalangan penunjuk rasa itu mendengar
apa yang berlaku dan membuat keputusan untuk mengikut demonstrasi itu dengan
begitu sahaja. Ada juga di antara mereka yang terlibat dengan pertubuhan
tempatan yang bekerja keras selama berbulan-bulan untuk menjayakan demonstrasi
itu. Lebih-lebih lagi, usaha bersama segelintir aktivis yang melihat WTO
sebagai musuh sama bagi kumpulan yang berlainan telah menyedarkan orang ramai bahawa
masalah itu memang wujud. Ini telah melibatkan pengatur-usahaan intensif selama
setahun, dengan kumpulan-kumpulan yang berlainan berinteraksi melalui internet
dan mempropagandakan isu-isu globalisasi dan pembantahannya. Noam Chomsky, yang
pernah digambarkan sebagai seorang anarkis, menegaskan kepentingan kerjasama
ini, “Kejayaan demonstrasi di Seattle disebabkan oleh usaha penyedaran dan
usaha atur-cara jangka masa panjang yang telah dilaksanakan dengan berdedikasi
dan penuh kegigihan.”[iii]
Paul Hawken juga mengingati jasa sejumlah pemikir terkemuka yang mengupas
isu-isu ini:
Martin Khor dari Rangkaian Dunia
Ketiga (Third
World Network) di Malaysia, Vandana Shiva dari India, Walden Bello dari
Fokus Dunia Global Selatan (Focus on the Global South), Maude Barlow
dari Majlis Rakyat Kanada (Council of Canadians), Tony Clarke dari
Institut Polaris, Jerry Mander dari Forum Globalisasi Antarabangsa, Susan
George dari Institut Transnasional, Daven Korten dari Forum Pembangunan
Mementingkan Rakyat (People-Centred Development Forum), John Cavanagh
dari Institut Pelajaran Polisi, Lori Wallach dari kumpulan Public Citizen, Mark
Ritchie dari Institut Polisi Pertanian dan Perdagangan, Anuradha Mittal dari
Institut Polisi Pembangunan dan Makanan, Helena Norberg-Hodge dari Persatuan
Ekologi dan Adat Resam Antarabangsa, Owens Wiwa dari Gerakan Keselamatan
Masyarakat Ogoni (Movement for the Survival of the Ogoni People),
Chakravarthi Raghavan dari Rangkaian Dunia Ketiga di Geneva, Debra Harry dari
Persekutuan Masyarakat Asli Menentang Biopiracy (Indigenous People’s
Coalition Against Biopiracy), Jose Bove dari Konfederasi Paysanne
Europeenne, Tetteh Hormoku dari Rangkaian Dunia Ketiga di Afrika.[iv]
Nama-nama lain juga boleh
ditambah kepada senarai ini sekiranya kita tidak sahaja mengira mereka yang
terlibat dengan kegiatan mobilisasi di Seattle. Noam Chomsky adalah satu
contoh. Yang lain termasuklah penulis-penulis majalah berkalah Le Monde
diplomatique di Peranchis, organisasi ATTAC dan kumpulan Rainsons d’Agir
yang mengelilingi pakar sosiologi Pierre Bourdieu. Di Britain, kita boleh
melihat jasa penulis akhbar Guardian George Monbiot, kumpulan People
and the Planet, dan penganjur Jubilee 2000. Di Belgium, terdapat Eric
Toussaint, Gerard de Selys dan Nico Hirtt. Di Kanada pula, Naomi Klein, penulis
terkemuka buku Tiada Logo (No Logo) juga tidak patut dilupakan.
Ada di antara mereka dalam
senarai ini yang merupakan aktivis dari tahun 1970-an dan juga 1960-an, seperti
Noam Chomsky dan Susan George. Ada juga di antara mereka yang telah membuat
nama tersendiri dalam tahun 1990-an, termasuk Naomi Klein. Apa yang menyatukan
mereka adalah pengkritikan mereka terhadap ideologi yang telah menentukan
polisi kerajaan-kerajaan di seluruh dunia pada tahun 1990-an – ideologi yang
kini diberi nama ‘neo-liberal.’
[i] Lihat, misalnya, J. Charlton, “Bercerita Mengenai Seattle,” International
Socialism Journal Jilid 86 (Musim Bunga, 2000); C. Kimber, Socialist
Worker, 12hb Disember 1999; J. St. Clair, “Diari Seattle,” New Left
Review Jilid 238 (November-Disember 1999); “Aya yang berlaku di Seattle dan
apakah maksudnya?” dalam K. Danaher dan R. Burbach (Penyunting), Globalise
This! The Battle Against the World Trade Organisation and Corporate Rule
(Monroe: Maine, 2000).
[ii] K. Danaher dan R. Burbach (Penyunting), seperti nota i, muka surat
41.
[iii] Seperti nota ii, muka depan.
[iv] Seperti nota ii, muka surat 27. Lihat juga rencana oleh Susan
George dalam Le Monde diplomatique, Januari 2000.