Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image
  • Selasa, 29 Mei 2012
  • Nurhalim

  • Pada tahun 1999, media massa di seluruh dunia telah membicarakan sesuatu fenomena baru: gerakan ‘anti-kapitalisme’ antarabangsa. Istilah ini muncul buat kali pertamanya dalam akhbar-akhbar British pada bulan Jun tahun itu, apabila lembaga-lembaga kewangan di London digempuh demonstrasi tunjuk rasa. Demonstrasi secara besar-besaran yang kemudiannya menemui persidangan Organisasi Perdagangan Sedunia (World Trade Organisation; WTO) di Seattle pada 30hb November juga diberikan nama ‘anti-kapitalis.’ Sepuluh tahun setelah kaum penguasa kapitalis mengisytiharkan kemenangan mutlak pasaran bebas dengan musnahnya Tembok Berlin dan pepecahan USSR, media semasa harus mengakui bahawa semakin ramai orang menolak sistem kapitalis.

    Gerakan anti-kapitalis ini paling jelas dilihat dalam demonstrasi yang berlaku secara berturut-turut di Seattle, Paris, London, Washington dan bandar-bandar lain di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi, perasaan anti-kapitalis juga terbentang dalam bentuk lain pula: misalnya, ketika sejuta warga Perancis mengundi untuk calon-calon Trotsky dalam pilihan raya Parlimen Eropah dan juga di antara beribu-ribu penyokong gerakan ATTAC; di kalangan penyokong Ken Livingstone dalam pilihanraya datuk bandar London, terutamanya di antara 15 peratus daripada pengundi yang mengundi untuk calon sayap kiri. Di Eropah Timur, hasil kajian juga membuktikan bahawa 58 peratus daripada penyokong kapitalis di Poland, 63 peratus di bekas Jerman Timur dan 51 peratus di Itali mempunyai ‘perhubingan negatif.’ Satu lagi contoh perasaan anti-kapitalis boleh dilihat dalam rangkaian pemberontakan di Amerika Latin yang menentang agenda neo-liberal dan permogokan pelajar di Mexico. Namun demikian, demonstrasi-demonstrasi ini hanya merupakan sebahagian kecil daripada rasa tidak puas hati golongan rakyat yang tertindas di seluruh dunia.

    Media massa telah memberi penumpuan terhadap bahagian kecil ini, dalam usaha untuk memperkecil-kecilkan usaha aktivis. Tetapi dengan berbuat demikian, mereka telah memberi fokus kepada ramai orang yang ingin menyuarakan rasa tidak puas hati mereka (demikian juga yang berlaku dengan gerakan anti-perang Vietnam dan gerakan pelajar pada tahun 1960-an).

    Demonstrasi anti-WTO di Seattle tentu saja menjadi titik permulaan bagi mana-mana perbincangan mengenai gerakan anti-kapitalisme. Tidak perlu saya membincangkan demonstrasi itu di sini; ini sudah dilakukan dalam majalah ini dan tempat-tempat yang lain[i]. Pendek kata, demonstrasi di Seattle adalah hasil kerjasama di antara kumpulan-kumpulan yang berlainan, yang sebelum itu tidak pernah bersatu. Setiap kumpulan itu akhirnya memahami bahawa pertemuan seperti mesyuarat WTO itu merupakan ancaman terhadap prinsip-prinsip yang mereka berpegangan. Luis Hernandez Navarro, seorang wartawan dari akhbar harian radikal La Jornada di Mexico menggambarkan mereka yang hadir di demonstrasi tersebut sebagai, “Ahli ekologi dan kaum pencinta alam, petani dari Dunia Pertama, ahli kesatuan pekerja, badan bukan kerajaan yang memyokong pembangunan, penyokong gerakan wanita, pengikut muzik punk, pembela hak asasi manusia, wakil masyarakat asli, mereka yang muda dan mereka yang tidak sebarapa muda, warga Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Amerika Latin dan Asia.”[ii] Katanya lagi, semua kumpulan yang berlainan ini bersatu dalam penolakan slogan “Semua kekuatan untuk perusahaan transnasional!” yang menjadi agenda WTO.

    Aksi demonstrasi dan bantahan itu menonjolkan diri secara spontan. Ramai di kalangan penunjuk rasa itu mendengar apa yang berlaku dan membuat keputusan untuk mengikut demonstrasi itu dengan begitu sahaja. Ada juga di antara mereka yang terlibat dengan pertubuhan tempatan yang bekerja keras selama berbulan-bulan untuk menjayakan demonstrasi itu. Lebih-lebih lagi, usaha bersama segelintir aktivis yang melihat WTO sebagai musuh sama bagi kumpulan yang berlainan telah menyedarkan orang ramai bahawa masalah itu memang wujud. Ini telah melibatkan pengatur-usahaan intensif selama setahun, dengan kumpulan-kumpulan yang berlainan berinteraksi melalui internet dan mempropagandakan isu-isu globalisasi dan pembantahannya. Noam Chomsky, yang pernah digambarkan sebagai seorang anarkis, menegaskan kepentingan kerjasama ini, “Kejayaan demonstrasi di Seattle disebabkan oleh usaha penyedaran dan usaha atur-cara jangka masa panjang yang telah dilaksanakan dengan berdedikasi dan penuh kegigihan.”[iii] Paul Hawken juga mengingati jasa sejumlah pemikir terkemuka yang mengupas isu-isu ini:

    Martin Khor dari Rangkaian Dunia Ketiga (Third World Network) di Malaysia, Vandana Shiva dari India, Walden Bello dari Fokus Dunia Global Selatan (Focus on the Global South), Maude Barlow dari Majlis Rakyat Kanada (Council of Canadians), Tony Clarke dari Institut Polaris, Jerry Mander dari Forum Globalisasi Antarabangsa, Susan George dari Institut Transnasional, Daven Korten dari Forum Pembangunan Mementingkan Rakyat (People-Centred Development Forum), John Cavanagh dari Institut Pelajaran Polisi, Lori Wallach dari kumpulan Public Citizen, Mark Ritchie dari Institut Polisi Pertanian dan Perdagangan, Anuradha Mittal dari Institut Polisi Pembangunan dan Makanan, Helena Norberg-Hodge dari Persatuan Ekologi dan Adat Resam Antarabangsa, Owens Wiwa dari Gerakan Keselamatan Masyarakat Ogoni (Movement for the Survival of the Ogoni People), Chakravarthi Raghavan dari Rangkaian Dunia Ketiga di Geneva, Debra Harry dari Persekutuan Masyarakat Asli Menentang Biopiracy (Indigenous People’s Coalition Against Biopiracy), Jose Bove dari Konfederasi Paysanne Europeenne, Tetteh Hormoku dari Rangkaian Dunia Ketiga di Afrika.[iv]

    Nama-nama lain juga boleh ditambah kepada senarai ini sekiranya kita tidak sahaja mengira mereka yang terlibat dengan kegiatan mobilisasi di Seattle. Noam Chomsky adalah satu contoh. Yang lain termasuklah penulis-penulis majalah berkalah Le Monde diplomatique di Peranchis, organisasi ATTAC dan kumpulan Rainsons d’Agir yang mengelilingi pakar sosiologi Pierre Bourdieu. Di Britain, kita boleh melihat jasa penulis akhbar Guardian George Monbiot, kumpulan People and the Planet, dan penganjur Jubilee 2000. Di Belgium, terdapat Eric Toussaint, Gerard de Selys dan Nico Hirtt. Di Kanada pula, Naomi Klein, penulis terkemuka buku Tiada Logo (No Logo) juga tidak patut dilupakan.

    Ada di antara mereka dalam senarai ini yang merupakan aktivis dari tahun 1970-an dan juga 1960-an, seperti Noam Chomsky dan Susan George. Ada juga di antara mereka yang telah membuat nama tersendiri dalam tahun 1990-an, termasuk Naomi Klein. Apa yang menyatukan mereka adalah pengkritikan mereka terhadap ideologi yang telah menentukan polisi kerajaan-kerajaan di seluruh dunia pada tahun 1990-an – ideologi yang kini diberi nama ‘neo-liberal.’



    Nota:

    [i] Lihat, misalnya, J. Charlton, “Bercerita Mengenai Seattle,” International Socialism Journal Jilid 86 (Musim Bunga, 2000); C. Kimber, Socialist Worker, 12hb Disember 1999; J. St. Clair, “Diari Seattle,” New Left Review Jilid 238 (November-Disember 1999); “Aya yang berlaku di Seattle dan apakah maksudnya?” dalam K. Danaher dan R. Burbach (Penyunting), Globalise This! The Battle Against the World Trade Organisation and Corporate Rule (Monroe: Maine, 2000).

    [ii] K. Danaher dan R. Burbach (Penyunting), seperti nota i, muka surat 41.

    [iii] Seperti nota ii, muka depan.

    [iv] Seperti nota ii, muka surat 27. Lihat juga rencana oleh Susan George dalam Le Monde diplomatique, Januari 2000.

    0 komentar:

    Posting Komentar